Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Bahagian Pelesenan Pelancongan (PLN) secara berterusan mengkaji mana-mana peraturan dan syarat berkaitan dengan aktiviti pelesenan sediada yang boleh diberikan kelonggaran agar dapat membantu syarikat pengendali pelancongan yang terkesan teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Sehubungan dengan itu, bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penggiat industri pelancongan yang terkesan daripada penularan COVID-19, Kementerian ini telah bersetuju untuk memberi kelonggaran syarat bagi perlanjutan pembaharuan permit bas persiaran yang dimiliki oleh pengusaha-pengusaha pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta Indsutri Pelancongan 1992 [Akta 482] seperti berikut:

  1. Pelanjutan permit bas persiaran yang dilesenkan di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 [Akta 594] daripada 13 tahun ke 15 tahun bagi pengusaha pelancongan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan;
  2. Kelonggaran ini dapat menyeragamkan peraturan dan syarat jangka had penggunaan bas persiaran ke 15 tahun selari dengan pelanjutan tempoh had usia oleh Kementerian Pengangkutan untuk pengusaha di Semenanjung Malaysia;
  3. Bas persiaran yang telah mencapai had usia maksimum (12 tahun) akan diberikan tambahan tempoh pembaharuan bagi tempoh satu (1) tahun secara automatik;
  4. Semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut wajib mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala PUSPAKOM terutamanya melibatkan aspek keselamatan komponen pemanduan dan keselamatan utama kenderaan dan pemeriksaan struktur badan kenderaan tersebut;
  5. Tiada rayuan dibenarkan bagi bas-bas persiaran yang tidak mematuhi dan melepasi syarat dan proses pemeriksaan berkala di PUSPAKOM;
  6. Tiada perlanjutan permit bas persiaran melebihi 15 tahun dibenarkan;
  7. Kebenaran pelanjutan tempoh usia bas ini hanya diberikan kepada pengendali yang memperolehi penilaian tertinggi di bawah proses penilaian ICOP-Safety oleh Kementerian Pengangkutan; dan
  8. Kementerian berhak menetapkan syarat-syarat kelulusan yang bersesuaian dari semasa ke semasa.

Justeru, Kementerian ini berharap kelonggaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan masalah yang dihadapi oleh syarikat pengendali pelancongan.

Pelanjutan permit bas persiaran ini berkuat kuasa mulai 5 Oktober 2020.

Bahagian Pelesenan Pelancongan
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia